SEJARAH

1965


Tahun ini merupakan satu detik sejarah, kerana penubuhan Perpustakaan Jabatan Muzium Muzium Brunei  sebagai Perpustakaan Khusus untuk memberi perkhidmatan rujukan dan membantu penyelidikan khusus untuk kakitangan dan warga Jabatan Muzium Muzium Brunei.

1967

Pihak Majlis Mesyuarat Negeri ketika itu telah meluluskan satu undang-undang untuk mengadakan syarat-syarat mengenai penyimpanan dan pemeliharan buku-buku yang di cetak dan di terbitkan dalam Negara Brunei. Undang-undang ini di gelar sebagai Undang-Undang Pemeliharan Buku-Buku 1967 sebagaimana di syaratkan dalam Warta Kerajaan Brunei Naskah VI,Bilangan 3 bertarikh 18hb Januari 1967.

Mulai ini Perpustakaan Muzium Muzium Brunei berperanan sebagai ‘Depository Library’ bagi terbitan tempatan  untuk mengumpulkan karya-karya bumiputera yang diterbitkan di Negara Brunei Darussalam selain dari misi utamanya sebagai perpustakaan khusus dalam menyokong aktiviti-aktiviti atau projek penyelidikan yang di kendalikan oleh bahagian-bahagian dalam jabatan ini.

1967 – 1984

Perpustakaan Muzium Brunei juga merupakan Pusat Penyerahan Bahan di bawah kawalan “Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967. Akta ini menghendaki setiap penerbit menyerahkan sebanyak (3) naskhah terbitan-terbitan yang diterbitkan di negara ini kepada Pengarah Muzium-Muzium Brunei untuk rujukan dan simpanan tetap dan sebagai warisan negara untuk generasi akan datang.

1984-

Semakan “Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967”, dilakukan bagi memantapkan kuasa pemeliharaan dengan terbitnya “Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967”, edisi semakan 1984.

Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1984 telah menggantikan Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967.

1997

Mulai Januari 1997,Perkhidmatan perpustakaan telah membuat satu pembaharuan mengenai sistem peminjaman iaitu dengan penerimaan ahli-ahli perpustakaan secara berdaftar dan juga mengadakan syarat tempoh dan kategori peminjaman bahan. Usaha ini sedikit sebanyak menaikkan jumlah pinjaman serta ahli perpustakaan. Secara tidak langsung ini meningkatkan lagi perkhidmatan perpustakaan sejajar dangan  misi nya mendokong akitiviti pengajian Brunei.

1998

Pada 25 Ogos 1998, Perpustakaan Muzium Brunei telah berpindah ke tempat Bangunan Arkib Negara, Jalan Menteri Besar, Negara Brunei Darussalam.

2010

Perpustakaan Jabatan Muzium Muzium Brunei mendapat Naib Johan, Pertandingan Perpustakaan Terbaik 2010, kategori A bagi Kementerian/ Jabatan yang mempunyai bilik Perpustakaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.

 

2013-

Perpustakaan Jabatan Muzium Muzium Brunei sekali lagi mendapat Naib Johan, Pertandingan Pentabiran dan Pengurusan Perpustakaan Terbaik 2012 sempena memperkasa Budaya Membaca 2013, Kategori A, Kementerian dan Jabatan Kerajaan, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.


2015 –

Perpustakaan Jabatan Muzium Muzium Brunei telah memperolehi sistem komputer pertamanya pada tahun 2014 dibawah projek e-library, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei . Dibawah sistem e-library ini semua perkhidmatan peminjaman dan pemulangan serta pencarian secara manual ditamatkan.

Jumlah koleksi bahan-bahan Perpustakaan Jabatan Muzium Brunei  sehingga tahun 2014 ialah 189,985 buah dengan sendiri nya meletakkan ia antara perpustakaan khusus dibawah kementerian dan Jabatan kerajaan yang mempunyai koleksi yang terbesar.

2016-

Pada 1 Mac 2016, secara rasmi penyerahan kuasa “Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967” telah diambil alih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.